mutakhir

Op Limau perjudian, 1,513 ditahan, lebih RM1.2 juta dirampas

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis menahan 1,513 individu dan merampas wang tunai lebih RM1.2 juta menerusi 203 serbuan dalam Op Limau 01/2021 bermula 1 hingga 28 Februari lalu di seluruh negara bagi membanteras perjudian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Huzir Mohamed berkata, fokus utama operasi ini adalah membanteras aktiviti perjudian yang ditumpukan kepada judi dalam bangunan dan judi tempat bebas tertakluk di dalam jadual pertama serta kedua Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurutnya, sebanyak 203 serbuan berjaya dilaksanakan dalam tempoh itu berbanding 141 serbuan pada 2020, peningkatan sebanyak 62 serbuan atau 43 peratus.

"Selain itu, seramai 1,513 individu ditangkap berbanding 1,000 individu pada 2020, peningkatan sebanyak 513 individu atau 51.3 peratus.

"Polis turut merampas wang tunai lebih RM1.2 juta berbanding RM562,312 pada 2020, peningkatan sebanyak RM654,305 atau 116 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Huzir berkata, antara kes itu membabitkan serbuan judi pai kaw dijalankan di Bukit Tengah, Pulau Pinang dan berjaya menangkap seramai 16 lelaki tempatan dan tiga lelaki warganegara China serta merampas wang tunai berjumlah RM276,950 pada 13 Februari lalu.

"Kes lain membabitkan dua serbuan judi pai kaw dan judi sisik dijalankan di Endau, Mersing, Johor dan berjaya menangkap seramai 24 lelaki serta enam tempatan dan merampas wang tunai berjumlah RM98,599 pada 21 Februari.

"Secara keseluruhannya, Op limau 01/2021 menunjukkan kejayaan dalam usaha membanteras aktiviti perjudian sempena Tahun Baharu Cina dengan mencatatkan peningkatan bilangan serbuan dan rampasan wang tunai," katanya.

Beliau berkata, kerjasama orang ramai dalam membantu polis menangani masalah perjudian dengan menyalurkan maklumat kepada polis amatlah dihargai.

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 4:58pm
d