mutakhir

Mufti Pahang nasihat Sajat henti 'membinasakan' diri sendiri

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "(Nur) Sajat, berhentilah membinasakan diri kamu. Kalau di dunia ini kamu tidak dengar (nasihat), di akhirat nanti lagi teruk.

"Mungkin kamu berfikir apa yang kamu buat itu orang simpati, tetapi orang Islam tidak simpati, benda yang tidak baik, tetap tidak baik," kata Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Beliau berkata, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman masih mempunyai masa untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan dengan dorongan serta sokongan pihak berkuasa agama dan umat Islam di negara ini.

Katanya, tiada isu penganiayaan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam kes yang dihadapinya, sebaliknya ia adalah tindakan untuk menyelamatkannya.

"Semua nak selamatkan dia di dunia, selamatkan dia di akhirat. Mereka boleh bantu. Umat Islam sebenarnya saling bantu membantu yang lain.

"Tidak ada sebab Jais untuk menganiaya orang. Tujuannya untuk nasihat. Tapi mungkin dia tak nak dengar. Lebih baik dia dengar nasihat," katanya.

Beliau mengulas tindakan usahawan kosmetik itu yang memuat naik status seolah-olah mahu keluar daripada Islam.

Ia dipercayai ada kaitan dengan waran tangkap yang dikeluarkan ke atasnya selepas gagal hadir dalam sebutan kes di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, 23 Februari lalu.

Abdul Rahman berkata, Nur Sajat akan lebih dihormati seluruh masyarakat Islam negara ini jika dia mendengar nasihat dan kembali ke pangkal jalan dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

"Kita orang Islam, dalam maqasid syariah, kita nak jaga orang Islam, nak selamatkan agama, kita tak boleh biarkan.

"Kalau kita biarkan, akan jadi huru hara dalam masyarakat, habis bercelaru," katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 5:42pm
d