mutakhir

Bunuh rakan tuntut hutang [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Berang apabila rakan menuntut hutang dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga Pakistan dibunuh di rumah sewanya di Jalan Sentul, di sini, pada 17 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada 6 petang.

"Mayat mangsa berusia 21 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

"Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira 10 jam sebelum ditemui.

"Hasil bedah siasat dilakukan terhadap mayat mangsa mendapati terdapat kecederaan pada leher lelaki itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, hasil maklumat dan risikan dilakukan, kami menahan dua suspek warga Pakistan yang juga rakan mangsa masing-masing berusia 22 dan 40 tahun di sekitar ibu negara pada 22 Februari lalu.

"Kami turut merampas satu pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati motif kejadian itu berpunca akibat berang apabila mangsa menuntut wang yang dipinjam oleh salah seorang suspek," katanya.

Katanya, polis akan menyerahkan kertas siasatan kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 5:45pm
d