mutakhir

Masalah pula bila pelitup muka dibuang sesuka hati

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melupuskan lebih 10,000 keping pelitup muka yang dibuang orang awam secara tidak berhemah setiap hari.

Datuk Bandar MBSP Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya memahami pemakaian pelitup muka diwajibkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) selain mudah didapati kerana dijual secara meluas.

"Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka jenis pakai buang secara meluas menimbulkan satu isu baharu iaitu pembuangan tidak terkawal oleh orang awam.

"Berdasarkan tinjauan MBSP, didapati banyak pelitup muka tidak dibuang ke dalam tong sampah dan ketika ini dianggarkan melebihi 10,000 pelitup muka dikutip dan dilupuskan MBSP pada setiap hari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kakitangan MBSP dikenali sebagai 'Wira Oren' terpaksa menggunakan alat penyepit atau sarung tangan untuk mengutip pelitup muka yang dibuang secara sesuka hati oleh orang awam untuk memastikan tiada jangkitan boleh berlaku kepada mereka serta masyarakat.

"MBSP memandang serius perkara ini dan orang ramai boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 47 (1) (a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana membuang apa-apa bentuk sampah di tempat awam.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM500 bagi kesalahan pertama dan RM1,000 bagi setiap kesalahan yang seterusnya," katanya.

Katanya, pihaknya berharap orang ramai memastikan pelitup muka pakai buang dilupuskan dengan cara betul dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 5:48pm
d