mutakhir

40 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Selatan terbakar

Oleh Ruwaida Md Zain

Kuala Langat: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor mengenal pasti kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan membabitkan kawasan seluas 40.469 hektar.

Pengarah Bomba Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, kawasan terbakar itu membabitkan lapan kompartmen iaitu kompartmen 7, 12, 13, 14, 15, 16, 17 dan 20.

"Bomba berjaya memadam kawasan seluas 6.07 hektar sejak semalam dan usaha digembleng untuk memadamkan kepala api, dari ia terus merebak terus ke bahagian lain yang berhampiran dengan hutan.

"Kita juga mendapat bantuan penggunaan pesawat Bombardier CL-415 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk pemadaman kebakaran dengan kaedah pengeboman air di kompartmen 15. Ini mendapat kelulusan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Pesawat bombadier APMM hari ini menjatuhkan 9,000 liter air membabitkan 16 sortie.

"Pengeboman air yang dijalankan itu diyakini mampu mempercepatkan pemadaman antara dua hingga ke tiga minggu daripada jangkaan masa empat sehingga enam minggu sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Hee Loy Sian serta pegawai mengadakan lawatan di kawasan terbabit pagi tadi.

Menurut Norazam, kebakaran yang mula dikesan kelmarin kini merebak sehingga lebih 40 hektar berikutan cuaca panas, kering dan berangin.

"Jalan masuk yang sempit dan rapuh serta sumber air yang terhad menyukarkan usaha pemadaman.

"Selain itu, apabila kebakaran membabitkan tanah yang terdapatnya akar pokok, ianya akan menyebabkan pokok boleh tumbang pada bila-bila masa," katanya.

Operasi itu membabitkan 180 pegawai dan anggota untuk memadam kebakaran iaitu 120 anggota bomba, 30 dari Jabatan Perhutanan serta tujuh dari Maritim Malaysia.

Sementara itu, Loy Siang berkata, kebakaran membabit tanah gambut bukan sahaja di permukaan tanah malahan juga di bawah tanah sedalam satu meter.

Beliau juga tidak menolak punca kebakaran disyaki akibat perbuatan tidak bertanggungjawab petani haram di kawasan hutan simpan terbabit yang melakukan pembakaran bagi membuka tanah pertanian baharu dan siasatan masih diteruskan.

"Bermula semalam, operasi bersepadu pemadaman kebakaran digerakkan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, JBPM, Unit Pengurusan Bencana, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Jabatan Mineral dan Geosains Selangor dan lain-lain agensi berkaitan.

"Antara strategi dijalankan adalah membuat parit saliran sebagai 'fire break' pada penghujung kawasan yang belum terbakar bagi menyekat kebakaran dari merebak dengan lebih teruk menggunakan 10 excavator yang ditempatkan di kawasan terbabit.

"Kita juga mengaktifkan tujuh telaga tiub berdekatan kawasan kebakaran bagi tujuan 'total flooding' dan 'direct attack' serta membuat pemadaman menggunakan kaedah 'direct attack' dan membuat saliran air ke dalam kawasan kebakaran dengan sumber air yang dibekalkan oleh telaga tiub.

"Pihak JBPM dan APMM juga melakukan aktiviti pengeboman air dengan mendapatkan sumber air di kawasan kawasan berhampiran selain pemantauan berkala dari semasa ke semasa oleh JBPM dan JPNS," katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 7:02pm
d