mutakhir

Kumpul dana jual 40,000 tan pakaian, barang terpakai bantu zoo

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Sebanyak 40,000 tan pakaian dan barangan terpakai berjaya dikumpul sebagai usaha mengumpul dana bagi disumbangkan kepada zoo seluruh negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Program Pengumpulan Pakaian Terpakai (PPT) itu inisiatif Persatuan Pentadbir Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Life Line Clothing Malaysia Sdn Bhd (LLCM).

Exco Persatuan Pentadbir UPM Rafidah Sadarudin berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu zoo seluruh negara dengan mewujudkan tabung kebajikan dan kos makanan haiwan.

"Program kali kedua ini turut mendapat kerjasama Persatuan Keluarga Autisme UPM yang mensasarkan dana bagi tabung persatuan untuk aktiviti Autisme UPM.

"Objektif program ini untuk membantu mencari dana untuk disumbangkan kepada zoo yang terkesan dengan pandemik," katanya.

Menurutnya, penularan pandemik menghalang pengunjung melawat zoo menyebabkan mereka kekurangan dana untuk membeli makanan haiwan.

"Pakaian serta barangan yang boleh dipakai dan tidak elok semua kami terima dan kumpulkan antaranya toto, cadar, langsir, bantal, baju kanak-kanak sehinggalah orang dewasa.

"Hasil pengumpulan ini kami jual kepada LLCM dan hasilnya disumbangkan kepada zoo yang terbabit," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, setakat ini pihaknya berjaya mengumpulkan 40,000 tan pakaian terpakai selama sebulan program itu dijalankan.

"Semua barangan di atas boleh dihantar ke UPM bermula 10 hingga 11 April depan.

"Sasaran kami mengumpulkan sebanyak mungkin pakaian terpakai daripada rakyat Malaysia untuk membantu haiwan di zoo terkesan," katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 7:27pm
d