mutakhir

12 Pati masuk secara haram diusir

Oleh BERNAMA

Kuching: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun antara 12 individu yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah kongsi yang disyaki dijadikan sebagai rumah transit pendatang asing tanpa izin (Pati).

Serbuan dalam Op Benteng itu dilakukan di Tebedu, Serian, kira-kira 100km dari sini, hari ini.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, bertindak di atas maklumat risikan, sepasukan polis daripada Cawangan Risik Batalion ke 11 PGA bersama Pasukan Petugas Op Benteng Batalion 12 PGA, Miri telah membuat serbuan ke atas rumah itu pada 4.30 pagi.

"Hasil serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati seramai sembilan lelaki, dua perempuan termasuk seorang kanak-kanak lelaki warganegara Indonesia yang berumur lingkungan lima hingga 48 tahun berada di dalam rumah tersebut.

"Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki Malaysia. Tindakan pengusiran dilakukan ke atas kesemua individu tersebut untuk berpatah balik ke negara asal mereka, Indonesia melalui Pintu Utama Sempadan Malaysia-Indonesia ICQS (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) Tebedu, Serian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mancha berkata, pengusiran dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Sek 6 (1) Akta Imigresen 1959 (Akta 155).

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 7:34pm
d