mutakhir

Bila 'pak cik' nak insaf...?

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Penahanan lelaki yang melarikan sebuah kereta membawa penemuan dadah jenis syabu seberat 0.5 gram (g) di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Malut, di sini, semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari, suspek dilaporkan melarikan Proton Satria milik seorang lelaki berusia 26 tahun di Kampung Penarak, di sini, ketika mangsa sedang memanaskan enjin kereta.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa menyedari keretanya dilarikan orang sebaik keluar semula dari rumah selepas mengambil barang.

"Mangsa terus mengejar keretanya sehingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Ayer Hangat sebelum meminta bantuan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) sebaik terserempak.

"Suspek berjaya ditahan di Jalan Bukit Malut dan pemeriksaan badan menemukan satu peket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 0.5 g dalam poket seluar hadapan sebelah kanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, saringan ujian air kencing mendapati suspek berusia 57 tahun positif dadah jenis methaphetamine dan lelaki itu direman tiga hari sehingga Jumaat ini.

Terdahulu, tular tiga video melalui aplikasi WhatsApp masing-masing berdurasi tujuh minit dan 31 saat, 3:37s dan 10 saat memaparkan aksi orang awam dan polis mengejar sebuah kereta yang dikatakan dilarikan di Kampung Penarak.

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 7:47pm
d