mutakhir

'Mohd Afiq sempat tenung wajah saya' - Bapa

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: "Arwah sempat membuka kedua-dua belah matanya awal pagi tadi kerana sebelum ini dia tak sedarkan diri dan bila dia buka mata, dia tenung dan tengok wajah saya.

"Saya sempat ajar dia mengucap dan ketika itu dia tengok wajah saya agak lama, namun kira-kira 10 minit kemudian, dia tutup mata dan doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia," kata Muhammad Zaini Derahim, 50.

Muhammad Zaini berkata, Mohd Afiq Ikmal, 23, meninggal dunia ketika waktu Subuh ketika masih dirawat di Hospital Selayang, Selangor akibat komplikasi hati.

Menurutnya, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah, namun tidak akan terputus silaturrahim dengan penderma hati kepada anaknya, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45.

"Pengorbanan dan jasa Wan Mohd Hafizam sangat besar sampai ke mati dan tak terbalas kerana dia sanggup datang menderma hati kepada anak saya walaupun sebelum ini langsung kami tak mengenali.

"Dia sanggup kongsi hati untuk menyambung nyawa anak saya dan tiada siapa yang nakkan melainkan ahli keluarga tapi langsung saya tak kenal," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Barakah, Kampung Masjid Tikam Batu, di sini, hari ini.

Muhammad Zaini berkata, arwah sebelum ini mahu sangat pulang ke rumah mereka di Rawang, Selangor dan hanya dapat pulang ke rumah dua hari sebelum dimasukkan semula ke hospital selepas tidak sedarkan diri.

Katanya, hasratnya untuk mengebumikan arwah di kampung halamannya juga tertunai.

"Saya yang nak arwah kebumi di sini (Tikam Batu) sebab semua nenek moyang saya ada di sini, malah kalau saya meninggal pun nanti, saya minta kebumi di sini," katanya.

Mohd Afiq Ikmal adalah anak sulung dari tiga beradik hasil perkongsian hidup Muhammad Zaini dengan isterinya, Shamsinar Salimen, 50.

Allahyarham Mohd Afiq Ikmal mencatat sejarah negara apabila menjadi penerima hati pertama di Malaysia pada 1999 selepas menerima hati daripada Wan Mohd Hafizam.

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 8:22pm
d