mutakhir

Biarlah Muhammad Akmal mangsa terakhir pemandu mabuk

Oleh Asrol Awang

Kuantan: "Saya harap kemalangan yang menimpa adik disebabkan pemandu mabuk adalah mangsa terakhir," kata Nur Suhaili Misnan, 31 kakak kepada Muhammad Akmal Hakim, 22 yang maut selepas dirempuh di Jalan Sungai Lembing, di sini kelmarin.

Nur Suhaili berkata, merekaa sekeluarga reda dengan kejadian itu, tetapi berharap si pelaku menerima hukuman setimpal bagi mengelak kes seumpama itu berulang.

"Ia sebagai pengajaran kepada semua supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk.

"Kami sudah melantik peguam bagi memperjuangkan kes ini untuk memberi pengajaran supaya kemalangan membabitkan pemandu mabuk dikenakan hukuman setimpal," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Isnin lalu, seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang lelaki disyaki mabuk di Jalan Sungai Lembing.

Dalam kejadian jam 1.10 pagi itu, Muhammad Akmal Hakim meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan ke Kampung Padang.

Ketika di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mangsa secara tiba-tiba dirempuh MPV Toyota Avanza dari arah belakang menyebabkan mangsa terjatuh di tengah jalan.

Motosikal mangsa tersangkut pada bahagian hadapan MPV dipandu lelaki berusia 26 tahun itu.

Hasil ujian kandungan alkohol dalam darah pemandu MPV terbabit melebihi had yang dibenarkan ketika memandu.

Ditanya perubahan ketara sikap Allahyarham Muhammad Akmal Hakim, Nur Suhaili berkata, adiknya itu tidak aktif di laman sosial termasuk memadam gambar.

"Sebenarnya arwah adik seorang yang ceria dan baru sahaja bekerja di sebuah kilang di Gebeng, di sini kira-kira dua bulan," katanya.

Jenazah Muhammad Akmal Hakim selamat dikebumikan di tanah perkuburan Keratong 4, Muadzam Shah di Rompin, semalam.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 1:03pm
d