mutakhir

12 'hotspot' berisiko terbakar di pantau

Oleh BERNAMA

Melaka: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka memantau 12 kawasan panas 'hotspot' hutan belukar yang berisiko untuk berlakunya kebakaran terutama dalam keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.

Pengarahnya, Abu Obaidat Mohamad berkata, antara zon utama dalam pemerhatian JBPM ialah Merlimau dan Jasin yang kebanyakan kawasan berkenaan terdiri daripada tanah gambut.

"Saya menyeru supaya masyarakat Melaka tidak melakukan pembakaran terbuka atau membuang puntung rokok terutama di sepanjang lebuh raya.

"Kita minta semua penduduk sama-sama jaga alam sekitar pada masa ini dan jika ada sebarang kebakaran, laporkan segera," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program suntikan vaksin Covid-19 kepada anggota bomba peringkat negeri di Balai Bomba Bukit Katil, di sini, hari ini.

Abu Obaidat berkata, walaupun kes kebakaran di Melaka dilihat menurun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aktiviti pembakaran sisa tanaman oleh petani, pembakaran sampah dan kebakaran secara spontan akibat cuaca terlalu panas masih menyebabkan api merebak dengan cepat.

Katanya, sebanyak 457 laporan kebakaran terbuka diterima dari Januari hingga Februari lalu dengan 424 kes membabitkan kebakaran belukar/lalang.

Ini termasuklah 'pertarungan' selama 96 jam JBPM Melaka untuk memadamkan kebakaran di ladang sawit di Kampung Bukit Durian, Serkam yang terbakar sejak Jumaat lalu, yang mana kerja-kerja pemadaman bermula jam 4.59 petang dan tamat pada 6.39 petang semalam.

Terdahulu, seramai 54 pegawai dan anggota bomba di Ibu Pejabat JBPM Melaka menerima suntikan bagi kumpulan pertama di Ibu Pejabat JBPM di Bukit Katil.

"Secara keseluruhan, 543 pegawai dan anggota JBPM dari 10 balai di seluruh Melaka akan menerima vaksin secara berperingkat selama lima hari bermula hari ini.

"Kita harap ia akan memberi semangat malah keyakinan yang lebih tinggi kepada anggota untuk menjalankan tugas mengendalikan kes Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 1:30pm
d