mutakhir

Adun Sebatik kekal bebas

Oleh BERNAMA

Kota Kinabalu: Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah Datuk Kadzim M Yahya hari ini mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Sebatik Hassan A Gani Pg Amir kekal seorang Adun bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kadzim berkata, ini kerana surat letak jawatan Adun Sebatik dikemukakan Parti Warisan Sabah (Warisan) semalam tidak efektif kerana ditandatangani terlebih dahulu dan tidak menyatakan sebarang tarikh.

Beliau berkata, Hassan A Gani juga sudah menghantar kepadanya akuan bersumpah dengan jelas menyatakan tiada niat untuk mengosongkan kerusi Dun di sebalik tindakannya keluar Warisan.

"Setelah saya meneliti kedua-dua dokumen berkenaan, saya mendapati surat peletakan jawatan dikemukakan oleh Warisan kepada saya yang dikatakan ditandatangani oleh YB (Yang Berhormat) Sebatik itu adalah pada sendirinya 'ineffective' (tidak efektif).

"Mengikut undang-undang yang kita ada sekarang, apa-apa peletakan jawatan 'pre-sign' dan 'undated' (atau) tidak bertarikh adalah batal. Justeru, berasaskan kepada itu, saya tidak dapat menerima surat itu sebagai peletakan jawatan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 1:56pm
d