mutakhir

Bakti penjinak ular untuk masyarakat

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Marang: "Jangan jadikan ular sebagai satu permainan, tetapi gunakan kemahiran menjinakkan ular itu untuk berbakti kepada masyarakat yang memerlukan," kata Jurulatih Pengendalian Haiwan Berbisa Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai (ABPMWT), Pegawai Bomba Safiq Mohamad.

Beliau ditemui ketika membuat demonstrasi menjinakkan ular di ABPMWT di sini, hari ini.

Safiq tidak bersetuju dengan tindakan segelintir penjinak ular yang menjadikan haiwan berbisa itu sebagai permainan semata-mata untuk menarik perhatian.

"Masih ada segelintir penjinak ular yang bukan dalam kalangan anggota bomba atau individu terlatih sanggup mengambil risiko bermain dengan ular berbisa untuk menarik perhatian.

"Jika mempamerkan kemahiran menjinakkan ular sebagai usaha untuk mendidik masyarakat dan latihan, hal itu tiada masalah.

"Tetapi, jika bermain dengan ular kerana tujuan suka-suka dan sekadar ingin memperlihatkan kehebatan dan meraih perhatian, perbuatan itu salah dan membahayakan diri sendiri," katanya.

Tambahnya, ilmu menjinakkan ular itu memang penting terutama kepada individu yang gemar melakukan aktiviti di hutan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Jika mempunyai kemahiran dan terlatih, tiada masalah sekiranya mereka tampil memberi pertolongan untuk menangkap ular yang mengancam keselamatan masyarakat dan keluarga.

"Tetapi jika tidak mempunyai kemahiran, sebaiknya jangan mengambil tindakan sendiri dan serah saja kepada anggota bomba.

"Jangan mengambil risiko dan paling penting jangan bertindak sehingga menyebabkan ular berasa terancam seterusnya menyerang," katanya.

Dia berharap penjinak ular bertauliah atau tidak bertauliah sentiasa peka dengan keselamatan diri ketika mengendalikan ular.

"Jangan bermain dengan ular tanpa sebab dan tidak menjadikan haiwan itu sebagai bahan untuk melariskan jualan.

"Sekiranya ingin serius dalam perkhidmatan menangkap ular, pastikan bertauliah dengan menyertai kursus pengendalian ular yang dianjurkan pihak bertanggungjawab," katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 2:27pm
d