mutakhir

Cat belum kering dah kena tahan

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Iskandar Puteri: Tiga remaja lelaki ditahan kerana menyimbah cat merah di sebuah kediaman di Jalan Ceria 24, Taman Nusa Indah di sini, semalam.

Mereka ditahan pengawal keselamatan perumahan itu selepas beberapa minit beredar dari kediaman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 17 hingga 18 tahun itu diberkas anggotanya di Pondok Keselamatan Kiara Hill, Taman Nusa Indah pada jam 10.15 malam.

Katanya, sebelum itu, pihaknya menerima maklumat daripada mangsa berusia 42 tahun mendakwa tiga lelaki menghampiri pintu pagar rumahnya dan menyimbah cat ke dalam pekarangan kediaman.

"Cat itu terkena kereta Proton Exora miliknya dan suspek juga meninggalkan sekeping nota bertulis 'Phari Mala Devi today paint tomorrow fire'.

"Namun ketika suspek beredar dari rumah itu, mereka ditahan oleh pengawal keselamatan di pondok pengawal," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, dua daripada suspek bekerja sebagai tukang masak dan tukang gunting rambut, manakala semakan lanjut mendapati mereka masing-masing mempunyai satu rekod lampau berkait kes jenayah.

Katanya, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati semua mereka negatif dadah.

Pihaknya merampas sebuah kereta Proton Saga dan dua paket plastik berisi cat merah dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 3:38pm
d