mutakhir

Cantik bergambar berlatar belakangkan Gunung Ledang

Oleh Ahmad Ismail

Tangkak: Biarpun cuaca ketika ini panas, kebanyakan penduduk tidak melepaskan peluang melakukan riadah dan berswafoto di Taman Negara Johor, Gunung Ledang berdekatan bandar Sagil, di sini.

Tinjauan di sekitar lokasi itu mendapati kebanyakan pengunjung ialah pelajar, kakitangan swasta, penjawat awam, penduduk setempat dan ibu bapa yang membawa anak bersiar-siar serta beriadah.

Pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kolej Universiti Islam Melaka Nur Nazirah Natasha Zamri, 22, berkata, sempena musim cuti semester, dia mengambil peluang melakukan pelbagai aktiviti santai antaranya berswafoto dengan pelbagai gaya bersama tiga rakan mahasiswi di laluan ke Taman Negara Johor.

"Sudah empat kali saya bersama rakan, Nurul Amiera Zuraimi, Nurul Atihirah Khairudin dan Fathen Aliah Razali yang kesemuanya berusia 22 tahun berswafoto di sini memandangkan pemandangan lokasi berlatar belakangkan Gunung Ledang selain udara segar menjadi tumpuan orang ramai di sebalik cuaca kering.

"Bagaimanapun berikutan cuaca panas terik, kami akan berkunjung ke sini pada waktu petang atau awal pagi, lagipun ia berdekatan dengan rumah kami," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, pemandangan latar belakang hutan hujan tropika menyeliputi puncak Gunung Ledang selain gumpalan awan putih berarak amat indah dirakamkan menggunakan telefon bimbit.

Katanya, dari sejauh dua kilometer ke pintu gerbang, jelas kelihatan jajaran banjaran Gunung Ledang.

"Ia amat menarik untuk kami merakamkan gambar dan secara kebetulan hari ini adalah sambutan hari lahir, Nurul Atihirah Khairudin yang ke-22 tahun," katanya.

Bagi penjawat awam, Hairuddin Mohd, Dom, 43, dia dan isteri membawa dua anak mereka berlari anak di lokasi itu kerana tertarik dengan keindahan serta infrastruktur jalan raya lurus.

"Sejak 10 tahun lalu, Taman Negara ini menjadi destinasi wajib untuk saya membawa keluarga bersiar-siar walaupun agak jauh dari rumah namun kami tertarik dengan keunikan persekitarannya.

"Biarpun cuaca panas hari ini tetapi yang penting anak gembira dapat bebas berlari-lari kerana sebelum ini pergerakan terhad kerana Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya berkata, cuaca panas di negara ini akan berlarutan sehingga pertengahan April depan.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 3:43pm
d