mutakhir

Graduan didenda RM5,000 pamer LKM palsu

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Seorang graduan universiti tempatan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) palsu pada kereta dipandunya, 18 Februari lalu.

Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mokhzani Aliff Baharun, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah juga menetapkan hukuman penjara empat minggu jika gagal membayar denda.

Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Mokhzani yang masih belum bekerja didakwa mempamerkan LKM yang bukan milik kenderaan dipandunya di Jalan Utara hadapan Taman Muhibah, di sini pada 9.15 pagi, 18 Februari lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 4:35pm
d