mutakhir

Potong daging babi di tempat potong ayam, polis terima 6 laporan

Oleh Norzamira Che Noh

Banting: Polis menerima enam laporan ke atas sebuah pasar raya di sini susulan kejadian pekerja premis terbabit dikatakan memotong daging babi di tempat memotong daging ayam hingga mencetuskan rasa kurang senang pengguna beragama Islam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, laporan berkenaan diterima pihaknya sejak Selasa lalu dan dibuat oleh beberapa individu serta badan bukan kerajaan (NGO).

"Semua laporan berkenaan itu sudah dirujuk kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan siasatan dijalankan oleh mereka.

"Pihak polis setakat ini hanya memantau di premis berkenaan dari sudut keselamatan manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pejabat agama akan buat siasatan di premis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial dakwaan seorang pekerja di pasar raya berkenaan memotong daging babi di tempat memotong daging ayam di premis terbabit.

Isu berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen sehingga pihak pengurusan pasar raya terbabit turut mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

Susulan daripada isu yang viral itu, pihak pengurusan pasar raya memohon maaf atas kesilapan dari pihak mereka.

Pihak pengurusan pasar raya terbabit memaklumkan segala peralatan digunakan sudah digantikan baharu, kawasan pemotongan juga disamak selain pekerja berkenaan sudah diberhentikan kerja serta-merta.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 4:54pm
d