mutakhir

Terima kasih dengar rintihan kami

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Kebenaran penganjuran majlis sosial yang diumumkan kerajaan semalam memberi nafas baharu kepada pengusaha industri perkahwinan terutama yang berdepan risiko gulung tikar selepas setahun mengalami kerugian akibat pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan (PPMPM), Zarinah Mohideen berkata, pihaknya menyambut baik dan berterima kasih kepada kerajaan yang membenarkan majlis perkahwinan dijalankan di seluruh Malaysia dengan kapasiti 50 peratus keseluruhan kehadiran.

"Terima kasih kerana sudi mendengar keluhan, keperitan dan rintihan kami. Selama hampir setahun kami bertarung untuk menyelamatkan industri ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam jelas memberi impak besar dalam merancakkan kembali industri perkahwinan.

"Keputusan itu pastinya memberi sinar baharu kepada semua pengusaha perkahwinan yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung.

"Ini termasuk pengusaha dan perunding perkahwinan, pengusaha pengurusan acara, pengusaha katering, pengusaha kanopi dan pengusaha kontrak," katanya.

Zarinah berkata, keputusan itu juga pastinya menaikkan semangat kerja pengusaha industri perkahwinan untuk terus bangkit dalam perniagaan ini sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, ratusan perunding dan pengusaha majlis perkahwinan berdepan gulung tikar susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan.

Mengikut rekod PPMPM, terdapat kira-kira 35 sektor di dalam industri perkahwinan membabitkan 4,200 pengusaha dan bilangan pekerja mencecah 62,000 orang.

Semalam kerajaan memutuskan untuk membenarkan penganjuran majlis sosial di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Ismail Sabri berkata, ia termasuk semua majlis sama ada rasmi dan tidak rasmi yang dianjurkan kerajaan atau swasta.

Selain itu, majlis perkahwinan, resepsi, pertunangan, akikah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, reunion, retreat dan majlis sosial lain juga dibenarkan.

Majlis perkahwinan untuk pasangan bukan Islam juga turut dibenarkan dengan jumlah kehadiran ke premis di kawasan PKPB adalah 50 peratus daripada keluasan premis.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 5:23pm
d