mutakhir

Ziarah kubur isteri kerana kesetiaan, ubat rindu

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Kerana terlalu rindukan arwah isteri yang sudah tiga bulan pergi meninggalkan dirinya, seorang warga emas ditemani anak Orang Kelainan Upaya (OKU) menggagahkan dirinya walaupun uzur menziarahi kubur isterinya setiap hari bagi menghargai pengorbanan pasangannya itu.

Kehadiran dua beranak itu seawal jam 8 pagi di tanah perkuburan berhampiran Kampung Balik Bukit, Tanjung Keling bersebelahan Makam Hang Tuah menyebabkan ramai sayu melihat dia menggagahkan diri ke kubur isterinya.

Warga emas berkenaan Abd Kadir Mahmud, 76, ketika ditemui berkata, setiap pagi dia akan ke tanah perkuburan itu bersama anaknya Siti Aisyah, 38, membaca surah Yasin di kubur isterinya, Allahyarham Noriah Osman, 65, yang meninggal dunia kerana komplikasi diabetis.

"Rutin ini saya lakukan sebaik arwah isteri meninggal dunia lebih tiga bulan lalu kerana kasih dan sayang saya terhadapnya amat mendalam.

"Baktinya arwah yang dicurahkan sepanjang 50 tahun hidup bersama tidak dapat dilupakan sepanjang hayat termasuk berbakti menjaga arwah emak saya sejak mula berkahwin sehingga meninggal dunia dengan penuh taat dan kasih sayang," katanya yang tinggal di kawasan berhampiran.

Menurutnya, arwah isterinya menjaga ibunya penuh teliti dan ikhlas seperti ibu sendiri sehingga mendapat pujian saudara maranya yang dianggap tiada pengganti sehingga hujung nyawa.

Abd Kadir berkata, ketika dirinya terpaksa berpindah tugas di Kuala Lumpur, ibunya enggan mengikutnya menyebabkan dia terpaksa berulang alik setiap hari selama lebih 20 tahun sebelum bersara.

Katanya, dengan membawa teksi sendiri dia keluar dari rumah kira-kira jam 5 pagi dan sampai semula ke Melaka kira-kira jam 8 malam atau 10 malam.

Namun, apa yang menyentuh hatinya, isteri yang menemani ibunya setia menunggunya setiap hari di muka pintu.

" Selagi saya belum pulang, isteri dan ibu tidak akan menjamah nasi dan hanya makan bersama sebaik saya sampai ke rumah," katanya.

Menurutnya, apa yang dilakukannya itu setiap hari dengan menziarahi kubur itu adalah untuk melepas rindu bersama anak OKU itu terhadap arwah isterinya.

Katanya, selagi hayat dikandung badan dia akan melakukan rutin berkenaan bagi melepaskan rindu.

Sementara itu, penduduk, Idris Jaafar 57, berkata, pengorbanan warga emas dan anak OKU berkenaan sememangnya suatu yang menyentuh perasaan mereka dan panduan kepada orang lain.

" Setiap hari dua beranak ini akan berdoa di kubur arwah isterinya dan menghadiahkan bacaan al-Quran kepada yang sudah meninggal dunia," katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 6:36pm
d