mutakhir

Langgar dua MPV polis, tapi kantoi jua...

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: Dua pengedar dadah nekad melanggar dua kereta peronda polis (MPV) untuk melarikan diri bersama dadah dibawa mereka, petang semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian 3.30 petang itu, dua suspek berusia 28 dan 41 tahun berjaya ditahan di hadapan sekolah kebangsaan di Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, dalam kejadian itu pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut membuat penahanan itu hasil risikan maklumat awal kes berkaitan dadah.

"Dalam pemeriksaan itu, polis merampas lima paket plastik warna biru berisi pil warna merah dan hijau disyaki dadah jenis methamphetamine atau yaba berjumlah 1,000 biji seberat 100.90 gram dengan nilai anggaran RM3,500 serta kereta Honda dinaiki suspek.

"Ujian saringan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya ketika sidang media di IPD Besut, hari ini.

Abdul Rozak berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai kesalahan rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Beliau berkata, mereka dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak dua tahun lalu dan bekalan untuk pasaran sekitar daerah ini.

Menurutnya, mereka direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula hari ini sehingga 8 Mac ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan dan turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

"Bagi kes kedua, mereka disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keselesaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM 10,000 atau kedua-duanya kerana menghalang tugas polis dengan melarikan diri ketika pemeriksaan dilakukan.

"Kes ketiga, suspek memandu dengan melulu dan merbahaya ketika cubaan melarikan diri dengan melanggar kenderaan polis dan jika sabit kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Jalan Raya 1987 memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya," katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 6:41pm
d