mutakhir

KPDNHEP periksa penjual LPG

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuka 60 kertas siasatan berhubung kesalahan dalam aktiviti perniagaan barang kawalan gas petroleum cecair (LPG).

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 43 kes disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, manakala selebihnya disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, ia membabitkan 1,003 pemeriksaan di seluruh negara bagi tempoh 18 Januari sehingga 24 Februari lalu.

"Sebanyak 35 kes disiasat atas kesalahan tiada tanda harga, menjual melebihi harga kawalan (8), tiada lesen barang kawalan (7), tidak kemaskini buku stok (4) dan tidak perbaharui lesen (2).

"Selain itu, masing-masing satu kes disiasat kerana memiliki melebihi had, mengalih barang kawalan dari premis dilesenkan serta menjual dan membeli barang kawalan kepada orang tiaada lesen.

"Ia membabitkan nilai sitaan bernilai RM35,373.20 dengan jumlah kompaun sebanyak RM22,000," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima 316 aduan berhubung aktiviti perniagaan barang kawalan LPG bagi tempoh 18 Februari hingga 1 Mac lalu.

Katanya, berikutan itu KPDNHEP mempertingkatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas peniaga dan pemborong LPG bagi memastikan bekalan barang kawalan itu mencukupi di pasaran dan harga stabil.

"Penguatkuasaan dilakukan melalui pelbagai bentuk tindakan seperti pemeriksaan mengejut dan uji beli (test purchase).

"Pengguna juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan salahlaku peniaga yang melanggar undang-undang termasuk LPG untuk tindakan," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke portal e-aduan.kpdnhep atau talian 1-800-886-800 atau emel di e-aduan@kpdnhep.gov.my atau Ez ADU KPDNHEP atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245 atau WhatsApp 019-2794317.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 6:55pm
d