mutakhir

Peniaga didakwa miliki pistol seakan sebenar, cuba rompak pekerja kedai serbaneka

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang peniaga didakwa semalam atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol yang menyerupai pistol sebenar dan cuba merompak seorang pekerja kedai serbaneka, bulan lalu.

B.Vinot, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni dan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Lelaki itu didakwa memiliki pistol tanpa kebenaran sah di sebuah kedai serbaneka di Jalan Pekan 2 Pekan Kundang Rawang, Gombak di sini pada 8 malam, 22 Februari lalu mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Vinot turut didakwa atas tuduhan dengan niat cuba merompak pekerja kedai serbaneka berusia 35 tahun pada tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibenar diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan 27 April depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 7:03pm
d