mutakhir

Mayat lelaki dalam longkang

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Mayat seorang lelaki yang sudah reput bahagian kepala ditemui di dalam longkang di hadapan sebuah sekolah di Jalan Padang Tembak, di sini, semalam.

Orang awam yang menemui mayat itu, sebelum menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan itu pada 5.50 petang.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Kamarudin Mat Salleh berkata, mayat itu ditemui dalam keadaan terlentang dengan memakai dua lapisan baju.

Menurutnya, mangsa adalah lelaki dewasa tetapi identitinya masih belum dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui padanya.

"Pemeriksaan mendapati tiada kecederaan fizikal pada badan mangsa.

"Mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat

"Ia akan dilakukan selepas laporan ujian saringan Covid-19 diperolehi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 8:03am
d