mutakhir

Polis Johor tahan ahli Macau Scam sembunyi di KL [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Cubaan 12 ahli sindiket Macau Scam yang melarikan diri ke Kuala Lumpur untuk bersembunyi selepas menyedari mereka diburu Polis Johor, gagal.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua suspek terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita itu ditahan dalam serbuan di sekitar Cheras pada 4.30 petang hingga 6.10 petang, 28 Februari lalu.

Katanya, tangkapan dilakukan di Cheras, Kuala Lumpur itu dilakukan susulan serbuan dilakukan Polis Johor di sebuah rumah kedai di Kota Tinggi yang dipercayai dijadikan 'sarang' sindiket itu pada 2 Februari lalu.

"Semua suspek ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor hasil kerjasama Polis Cheras. Dalam serbuan di Kota Tinggi, polis merampas 57 telefon bimbit, set komputer dan dua modem.

"Hasil siasatan mendapati semua suspek bekerja sebagai penyamar bagi memperdaya mangsa. Semua mereka diberi bayaran bulanan RM1,000 hingga RM2,000 tidak termasuk komisyen jika berjaya memperdaya mangsa.

"Sindiket ini sudah beroperasi selama setahun. Selain menyamar sebagai pegawai pos laju, mereka turut menyamar sebagai pegawai polis, kastam dan sebagainya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Mohd. Salleh Abdullah.

Menurutnya, semua suspek direman mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 selama 21 hari bermula 1 Mac lalu.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 2:52pm
d