mutakhir

Suspek kes pecah rumah ditemukan lemas

Oleh BERNAMA

Kangar: Lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah ditemukan lemas hari ini selepas terjun ke dalam sungai bagi melarikan diri ketika dikejar penduduk kampung di Kampung Paloh, Arau, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, dalam kejadian 3.50 petang itu, suspek berusia 33 tahun terbabit nekad terjun ke dalam sungai berkenaan sebelum dilaporkan hilang daripada pandangan orang awam yang mengejarnya.

"Mayatnya ditemukan di dasar sungai oleh penyelam Unit Pasukan Penyelamat Di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada 11.30 pagi tadi," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Perlis Ruhisha Haris berkata, operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan mangsa bermula pada 8 pagi tadi melibatkan 11 anggota sebelum mayat lelaki berkenaan ditemukan.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 4:05pm
d