mutakhir

Harimau Dahan cari makan depan rumah

Oleh Mohd Rashidi Yusuf.

Lenggong: Kelibat seekor harimau dahan di hadapan sebuah rumah di Taman Kota, Kampung Lahar dekat sini, kira-kira jam 2 pagi hari ini, membimbangkan penduduk untuk untuk keluar bekerja.

Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK), Kampung Lahar Bahari Ismail berkata, kelibat harimau yang sedang menghidu sesuatu beberapa meter di hadapan rumah itu sempat dirakam tuan rumah dan isterinya.

"Video berdurasi 20 saat itu jelas menunjukkan aksi haiwan pemangsa terbabit.

"Harimau itu kemudiannya masuk ke hutan tidak jauh daripada rumah berkenaan," katanya.

Menurut Bahari, ia mungkin harimau sama yang pernah dilihatnya tahun lalu, juga pada waktu malam dan pada musim kemarau seperti ketika ini.

Katanya, mungkin harimau terbabit kelaparan menyebabkannya keluar dari hutan untuk mencari makanan.

Perkara terbabit kemudiannya dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan.

"Penduduk berharap harimau itu dapat ditangkap dan dipindahkan ke lokasi lain," katanya.

Usaha untuk menemubual individu yang merakam video berkenaan bagaimanapun gagal kerana individu berkaitan tiada di lokasi.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan, Yusoff Shariff ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai kehadiran haiwan itu dan mengenal-pastinya sebagai harimau berdasarkan rakaman video berkenaan.

"Kakitangan Perhilitan Hulu Perak sudah memasang perangkap untuk menangkap harimau terbabit," katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 4:52pm
d