mutakhir

KKM ambil serius salah laku penggunaan media sosial petugas

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius laporan berhubung salah laku dalam penggunaan media sosial dan kecenderungan membuat pernyataan awam secara tidak wajar dalam kalangan petugasnya.

Merujuk edaran pernyataan awam yang tersebar menerusi media sosial mengenai pelaksanaan pemberian vaksin yang kononnya ditulis oleh petugas kesihatan KKM, kementerian itu dalam kenyataan hari ini menegaskan setiap kes yang diadu atau dikenal pasti akan dikenakan tindakan tatatertib berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa, sekiranya sabit kesalahan.

"Selaras dengan prinsip perkhidmatan dan peraturan berkaitan tatatertib, setiap penjawat awam ditegah membuat pernyataan yang secara langsung atau tidak langsung menyentuh pelaksanaan apa-apa dasar awam, program dan keputusan kerajaan tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran.

"Pernyataan yang tidak wajar dan dibuat tanpa usul periksa bukan sahaja menjejaskan imej pegawai sebagai penjawat awam, malah boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan dalam masyarakat serta menjejaskan kredibiliti perkhidmatan awam dan kerajaan," demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, peraturan berkaitan perkara tersebut khususnya penggunaan media sosial, bukan bertujuan menghalang pegawai bersuara tetapi lebih kepada memastikan mereka menggunakan saluran maklum balas dan aduan yang betul serta menjaga imej dan kredibiliti pegawai, perkhidmatan awam dan kerajaan.

"Setiap pegawai di KKM dari semasa ke semasa diingatkan supaya memelihara kesopanan dan kesusilaan semasa menggunakan media sosial serta menjaga batas-batas penggunaannya agar tidak terjebak sebagai salah laku yang boleh dikenakan hukuman tatatertib.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 4:57pm
d