mutakhir

Hujan lebat landa Kuching, beberapa jalan dipenuhi air

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Hujan lebat melanda beberapa kawasan di Sarawak khususnya di Kuching ketika negeri lain di Semenanjung mengalami cuaca panas melampau.

Manakala, kawasan Sibu dan Sri Aman pula dilaporkan mendung sejak pagi, namun tiada hujan sehingga jam 4 petang ini.

Hujan bermula di Kuching sejak awal pagi dan semakin lebat pada tengah hari menyebabkan beberapa jalan raya di Batu Kawa, di sini, dilanda banjir kilat.

Menurut penduduk di Taman Desa Wira, Batu Kawa, air mula naik pada 12.30 tengah hari tadi dan membanjiri laluan masuk ke kawasan perumahan itu jam 1 tengah hari.

Bagaimanapun katanya, kejadian banjir kilat itu hanya berlaku kira-kira 30 minit.

Seorang pekerja bengkel motosikal di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa pula berkata, hujan lebat disertai ribut itu menyebabkan air memasuki bahagian depan bengkel dan surut semula dalam tempoh beberapa minit.

Katanya, banjir kilat didakwanya kerap berlaku sejak projek pembangunan pusat komersil dilaksanakan di kawasan berdekatan.

"Sebelum ini, jarang air naik sehingga memasuki bengkel kami walaupun hujan lebat, namun sejak hujung tahun lalu, keadaan sudah berbeza.

"Saya percaya sistem perparitan di kawasan ini tersumbat akibat tanah yang ditambak untuk membina pusat komersil itu," katanya.

Tinjauan di hulu Sungai Maong yang terletak berdekatan tapak projek berkenaan mendapati, air sungai itu melimpah dan dikhuatiri akan membanjiri kawasan kediaman jika hujan lebat berterusan.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 5:11pm
d