mutakhir

Pinjamkan wang konon

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Hubungi mangsa menerusi panggilan telefon serta menghantar mesej bagi 'memancing' orang ramai membuat pinjaman wang yang tidak wujud.

Taktik yang digunakan satu sindiket sejak sebulan lalu terbongkar selepas polis melakukan serbuan di Lembah Klang, 1 Mac lalu dan menahan empat individu dipercayai terbabit dengan kegiatan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, empat individu berusia antara 21 hingga 42 tahun ditahan polis iaitu tiga wanita serta seorang lelaki.

"Dalam serbuan itu, kami merampas 10 telefon bimbit, satu buku catatan, satu salinan dokumen rumah sewa dan lima kad ATM pelbagai bank.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini menawarkan pinjaman dengan menghubungi mangsa menerusi panggilan telefon atau menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp.

"Sebaik berjaya menghubungi mangsa, sindiket akan mengarahkan mereka untuk membuat pembayaran pendahuluan seperti yuran perundangan, yuran perjanjian, yuran insurans dan lain-lain sebelum menghilangkan diri selepas pembayaran dibuat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainuddin berkata, impak kemelesetan ekonomi susulan pandemik Covid-19 mengakibatkan ramai individu menganggur serta kehilangan sumber pendapatan sekali gus memilih membuat pinjaman daripada institusi kewangan bagi meneruskan kehidupan.

"Sindiket pinjaman tidak wujud melihat perkara ini sebagai satu peluang untuk memperdaya mangsa dengan menawarkan pinjaman wang yang diiklankan melalui media sosial.

"Tawaran kadar faedah rendah dan proses permohonan pinjaman cepat adalah daya tarikan utama yang mampu mengaburu mata mangsa.

"Sepanjang tahun lalu, 5,718 kes dilaporkan membabitkan pinjaman wang tidak wujud dengan kerugian berjumlah lebih RM62 juta," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan iklan promosi pinjaman wang di media sosial selain membuat pengesahan nombor telefon serta akaun bank terlebih dahulu melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.

"Orang ramai diingatkan supaya membuat permohonan pinjaman wang melalui institusi perbankan atau institusi kewangan berlesen sahaja. Adalah diingatkan bahawa peminjam tidak perlu membuat sebarang bayaran yuran sebelum permohonan pinjaman wang diluluskan.

"Sila laporkan kepada CCID Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai maklumat berkaitan penipuan pinjaman wang tidak wujud yang terdapat di media sosial," katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 5:13pm
d