mutakhir

Jangan terpedaya tawaran vaksin pihak lain

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Orang ramai diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan pihak tertentu yang mengaku sebagai ejen kerajaan dengan menawarkan suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hanya diselaraskan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja.

"Memang ramai ambil kesempatan bukan sahaja keluar di online tetapi sudah ada yang 'approach' kita hendak ambil vaksin atau tidak kononnya dia ejen dari negara atau syarikat tertentu.

"Jika timbul keraguan boleh hubungi KKM dan Mosti kerana hanya dua kementerian ini saja yang tahu dari mana vaksin dan siapa ejen atau syarikat yang dilantik misalnya ada beberapa seperti Pharmaniaga jadi jika ada pihak lain itu tidak benar.

"Jadi saya harap rakyat tidak tertipu dan terpengaruh dengan tawaran pihak tertentu yang kita tidak tahu siapa mereka," katanya mengulas dakwaan penjualan vaksin Covid-19 di platform e-dagang.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia mendaftar program imunisasi ini melalui aplikasi MySejahtera.

"Sehingga hari ini, seramai 1,909,585 rakyat Malaysia mendaftar namun jumlah yang mendaftar ini masih lagi kecil jika dibandingkan dengan populasi rakyat Malaysia yang keseluruhannya menghampiri 33 juta orang.

Selain MySejahtera, pendaftaran juga boleh dibuat menerusi lawan web http://www.vaksincovid.gov.my atau terus ke hospital dan klinik kesihatan awam berdekatan yang akan mula dibuka esok atau melalui talian hotline yang bakal diumumkan oleh Mosti dalam masa terdekat," katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 7:43pm
d