mutakhir

Jenazah Nor Hayati selamat dikebumikan [METROTV]

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: Jenazah pekerja kilang yang meninggal dunia selepas van pekerja dinaikinya dihempap runtuhan struktur jejantas pembinaan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Desa Tun Razak, semalam, selamat dikebumikan, malam ini.

Jenazah Nor Hayati Abdullah, 42, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk Pusing, Bagan Terap, di sini, pada 10.30 malam.

Jenazah mangsa sebelum itu tiba di Masjid Marzukiyah, Kampung Lubuk Pusing, Bagan Terap, di sini, dari Hospital Canselor Tengku Mukhriz (HCTM) Cheras pada 9.45 malam untuk disembahyangkan.

Jenazah anak bongsu daripada lima beradik itu dikebumikan berhampiran kubur kakak ketiganya, Laila Hayati Abdullah yang meninggal dunia pada 9 Mac 2019 akibat barah payudara.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran puluhan ahli keluarga dan saudara mara arwah.

Kakak Allahyarham, Maslinawati, 43, berkata, dia sekeluarga bersyukur urusan pengebumian berjalan lancar dan reda dengan pemergian adiknya.

"Alhamdulillah, Allah mudahkan segala urusan arwah daripada proses bedah siasat sehinggalah urusan pengebumian termasuk ujian saringan Covid-19 yang mana keputusannya negatif.

"Walaupun kehilangan seorang adik yang ceria dan suka bergurau, kami sekeluarga reda akan pemergiannya dan berdoa agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang soleh dan solihin," katanya.

Dia berkata, ibunya, Hasmah Sohor, 77, turut menerima berita pemergian Allahyarham dengan hati tenang.

Terdahulu, media melaporkan dalam kejadian petang semalam, sebuah treler membawa lebih muatan melanggar perancah besi pembinaan SUKE, menyebabkan berlaku runtuhan dan menghempap sebuah van pekerja.

Dua wanita pekerja kilang maut manakala dua lagi rakan mereka bersama seorang lelaki yang juga pemandu van itu cedera.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 11:42pm
d