mutakhir

Bermula PKP di Nabawan, PKPP seluruh Sabah

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di Nabawan, mulai hari ini membabitkan lima mukim iaitu Nabawan, Pemuntarian, Sapulut, Pagalungan dan Pensiangan.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, perintah itu dikenakan selepas kawasan terbabit merekodkan 241 kes sehingga semalam, yang tertinggi di negeri itu.

Katanya, dua perkampungan pula iaitu Kampung Sinsingon dan Lotong pula diletakkan dalam PKP Diperketatkan (PKPD).

Susulan itu, penduduk tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) PKP yang melarang pergerakan keluar masuk kecuali untuk membeli barang keperluan dan mendapatkan rawatan dalam lingkungan yang dibenarkan.

"Sekolah dan pusat tahfiz yang ada di Nabawan juga ditutup sepanjang tempoh ini kecuali yang terbabit dengan peperiksaan kerajaan," katanya dalam kenyataan.

Nabawan mula merekodkan kes Covid-19 tinggi, minggu lalu susulan Kluster Sinsingon yang dikesan menerusi saringan pelajar masuk ke asrama.

Dalam pada itu, Sabah yang dikenakan PKP Pemulihan membenarkan pergerakan merentas daerah, hari ini namun mengikut enam zon yang ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 5, 2021 @ 8:40am
    d