mutakhir

Cuba redah api selamat anak OKU

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Rembau: Dua beranak cedera apabila kediaman pusaka berusia lebih 100 tahun yang didiami di Kampung Seberang Batu Hampar, dekat sini musnah dalam kebakaran petang semalam.

Dalam kejadian pada 6.40 petang itu, Maimunah Mohd Shah, 81, dikatakan cuba masuk ke dalam rumah yang sedang terbakar menerusi pintu dapur bagi menyelamatkan anaknya, Zaidi Zainuddin, 46, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal.

Bagaimanapun, tindakannya sempat dihalang seorang anggota polis yang kebetulan melalui kawasan itu.

Anak mangsa, Hamdan Zainudin, 44, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang selepas menjenguk ibu dan abangnya, sebelum mendapat panggilan daripada kawan yang memaklumkan rumah emak saya terbakar.

"Saya pun berpatah balik untuk melihat keadaan mereka dan sebaik tiba didapati api sudah marak.

"Alhamdulillah, emak dan abang saya berjaya diselamatkan seorang anggota polis yang kebetulan lalu di kawasan rumah kami," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, anggota polis berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas habis bekerja.

"Mujur dia menyelamatkan emak yang uzur, malah dia juga berjaya menghalang emak daripada masuk ke dalam rumah kerana mahu menyelamatkan abang.

"Emak cedera di bahagian leher, muka dan tangan serta dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), manakala abang yang melecur di bahagian badan, kaki serta tangan masih kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di hospital sama," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Fuad Majid berkata, pasukannya ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 6.44 petang.

"Sebaik tiba, kedua-dua mangsa yang cedera dan melecur sudah dibawa keluar sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Api berjaya dikawal pada 7.25 malam dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau.

"Rumah berstruktur separa kekal ini dianggarkan musnah 80 peratus. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2021 @ 11:10am
d