mutakhir

KPDNHEP rampas pakaian, kasut tiruan

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Sebanyak 6,546 pakaian dan kasut berjenama tiruan bernilai RM107,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang dalam Ops Tiru sekitar bandar raya ini, semalam.

Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, rampasan itu dilakukan di sekitar Stadium Darul Makmur dan Tanjung Lumpur, di sini, dalam operasi selama lima jam bermula 1 petang.

"Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an turut ditahan untuk diambil keterangan.

"Dalam dua kes ini, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika disabit kesalahan, suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang dan kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000.

"Jika orang itu bukan pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjarakan

tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, Ops Tiru itu bertujuan mencegah barang tiruan dan cetak rompak serta memastikan lambakan barangan tiruan di negara ini dapat dikawal.

Selain itu, katanya, ia memberi perlindungan kepada pengguna dan pihak industri iaitu pemilik cap dagangan yang berdaftar di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

"Berdasarkan statistik dari 1 Januari hingga 31 Disember 2020, pejabat KPDNHEP Pahang menjalankan pemeriksaan di 125 premis yang disyaki berurus niaga barangan tiruan dan cetak rompak.

"Daripada jumlah itu, sebanyak enam kes dihasilkan dengan nilai rampasan RM 214,954 yang membabitkan enam tangkapan.

"Antara barangan yang disita termasuk pakaian, beg tangan, dompet, jam tangan, kasut, aksesori telefon serta barangan aksesori wanita," katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2021 @ 12:07pm
d