mutakhir

Saki baki Geng Ayoi ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis menahan saki baki sindiket ragut rantai dan gelang emas dikenali sebagai Geng Ayoi Gombak dengan tangkapan empat individu dalam dua serbuan berasingan di Shah Alam dan Ulu Kelang, Selangor pada 28 Februari dan 1 Mac lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly berkata, suspek yang dikehendaki dikenali sebagai Angah berusia 35 tahun yang berperanan sebagai 'ulat emas' dan tukang lebur barang kemas hasil ragut ditahan di Shah Alam jam 9 malam pada 1 Mac lalu.

"Hasil soal siasat terhadap suspek berkenaan, kami melakukan serbuan di sebuah kedai emas di Ulu Kelang jam 10 malam dan menahan pemilik serta seorang pekerja masing-masing berusia 29 dan 33 tahun.

"Dalam serbuan itu, kami merampas pelbagai peralatan untuk melebur emas, 37 barang kemas (emas), 17 barang kemas (perak), enam serpihan emas, sejumlah wang tunai, enam jam tangan berjenama dan satu kereta Mercedes Benz.

"Jumlah keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM1.2 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Saiful Azly berkata, siasatan mendapati Angah yang berperanan sebagai 'ulat emas' akan membeli barang kemas hasil ragut dengan harga RM190 segram dan melebur sendiri barang kemas di premis membeli emas berkenaan.

"Siasatan awal mendapati suspek yang berperanan sebagai 'ulat emas' akan membeli gelang dan rantai emas hasil ragut pada harga RM190 segram dan akan melebur emas itu sendiri di premis 'pembeli' pada setiap minggu.

"Setiap bulan, 'ulat emas' melebur kira-kira 400 hingga 500 gram emas yang akan dijual kepada 'pembeli' pada harga RM216 segram.

"Pembeli pula akan membuat pembayaran secara tunai kepada ulat emas dengan anggaran RM50,000 hingga RM70,000 untuk setiap kali pembayaran," katanya.

Beliau berkata, dengan penahanan lapan individu termasuk seorang lelaki warga Thailand sebelum ini, pihaknya yakin berjaya menumpaskan keseluruhan geng berkenaan.

"Kami berjaya menyelesaikan kira-kira 300 kes ragut membabitkan kerugian RM900,0000 di Kuala Lumpur yang dipercayai didalangi geng terbabit sepanjang tempoh tahun lalu hingga awal tahun ini.

"Sehingga kini, tiga suspek yang ditahan diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan direman mengikut Seksyen 4(1) akta sama selama 21 hari, manakala dua lagi suspek masih direman dan akan diambil tindakan di bawah akta sama.

"Tiga lagi individu termasuk seorang lelaki warga Thailand pula dibebaskan dengan jaminan pihak polis selepas didapati tidak terbabit dalam kegiatan itu," katanya.

Pada 26 Januari lalu, Saiful Azly memaklumkan pihaknya menahan empat lelaki termasuk seorang lelaki warga Thailand yang disyaki terbabit dengan Geng Ayoi Gombak.

Difahamkan Bobie yang berusia 30 tahun juga sudah berjaya ditahan, baru-baru ini.

Disiarkan pada: March 5, 2021 @ 2:44pm
d