mutakhir

Terperangkap di skylift

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Dua lelaki yang terperangkap di jentera angkat (skylift) di Jalan Batu Lancang, Jelutong di sini, hari ini, diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.

Dua lelaki berusia 18 dan 26 tahun itu terperangkap di jentera berkenaan ketika melakukan kerja pemasangan lampu jalan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.19 pagi.

Menurutnya, susulan itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak bergegas ke tempat kejadian.

"Ketika di lokasi didapati dua lelaki terbabit terperangkap di jentera berkenaan pada ketinggian kira-kira 10 meter.

"Difahamkan jentera angkat itu mengalami kerosakan pada sistem hidraulik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa berjaya diturunkan dengan selamat dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 3 pagi.

Disiarkan pada: March 6, 2021 @ 11:15am
d