mutakhir

3 blok SK Campuran hangus

Oleh Mohd Roji Kawi

Mukah: Tiga blok bangunan termasuk satu blok tempat tinggal guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Campuran, Daro, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kebakaran yang berlaku 6.30 pagi itu membabitkan bangunan bilik mesyuarat dan penyimpanan buku teks, tempat tinggal guru manakala satu blok lagi menempatkan stor.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.44 pagi.

Beliau berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

"Komander operasi melaporkan kebakaran membabitkan bangunan sekolah setingkat jenis tidak kekal menyebabkan kemusnahan seratus peratus.

"Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika ini sekolah masih belum beroperasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian itu.

Disiarkan pada: March 6, 2021 @ 11:50am
d