mutakhir

Bunuh isteri: JKM akan mohon penjagaan sementara anak mangsa

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Iskandar Puteri: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mohon dapatkan hak jagaan sementara dua anak wanita yang mati dibunuh suami di Kota Tinggi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, agensi itu akan memastikan kebajikan kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun itu terbela.

"JKM dalam proses untuk mendapatkan (perintah mahkamah) bagi penjagaan anak-anak itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden kematian isteri dipercayai ditembak suaminya apabila mayat ditemui secara tragis dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, Kota Tinggi, kelmarin.

Semalam Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang media berkata, kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu, selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman pasangan itu, di Taman Saujana, Kota Tinggi.

Katanya, kes itu bermula apabila jiran mangsa membuat laporan berkaitan kehilangan ibu dua anak berkenaan, Isnin lalu.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata, pihaknya bercadang bagi mewujudkan kursus pasca perkahwinan dalam usaha memperkukuhkan institusi kekeluargaan.

"Kementerian akan melihat perkara ini supaya ada kursus tertentu diadakan dalam waktu pasangan itu melayari kehidupan perkahwinan, sebagai contoh kursus kemahiran keibubapaan.

"Kalau orang Islam yang mahu berkahwin, wajib hadir kursus pra perkahwinan. Tapi selepas berkahwin sebenarnya itu yang perlu kita jaga. Kursus itu akan dipertimbangkan meliputi semua bangsa.

"Maka kementerian akan melihat perkara ini supaya ada kursus tertentu yang diwajibkan untuk diadakan," katanya.

Terdahulu Rina menyempurnakan program Female Employee Referral sempena Hari Wanita Sedunia di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen.

Pada program berkenaan, Rina berkata, pihaknya akan mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan khusus buat wanita di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Katanya, sehingga kini, kira-kira 10 syarikat terbabit dalam kolaborasi berkenaan yang menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.

Berita berkaitan

Kesan lebam pada mayat wanita ditembak suami

Polis siasat motif suami penyayang bertukar kejam tembak isteri

Tembak isteri, sumbat dalam tong [METROTV]

Disiarkan pada: March 6, 2021 @ 3:24pm
d