mutakhir

Mayat wanita ditemukan bersama 37 Pati ketika ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Mayat seorang wanita ditemukan bersama 37 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) berhampiran kawasan pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor, hari ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan, memaklumkan anggota petugas pos pemerhati mengesan kehadiran bot sedang menurunkan Pati berhampiran kawasan pantai berkenaan.

"Hasil serbuan 5.40 pagi tadi, seramai 13 Pati ditahan. Susulan itu, Tim QRF yang melakukan penjejakan berjaya mengesan kehadiran orang awam di dalam belukar berhampiran bangunan hotel terbiar, Tanjung Balau, Kota Tinggi.

"Dalam serbuan 9.30 pagi itu, kami berjaya menahan 19 Pati, manakala lima lagi Pati ditahan 10.40 pagi. Selain itu, kami menemui mayat seorang wanita dipercayai dari kumpulan sama dengan Pati yang ditahan," katanya, hari ini.

Menurutnya, kes penemuan mayat berkenaan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat.

"37 Pati yang ditahan terdiri daripada 22 lelaki dan 15 wanita berusia antara 21 hingga 51 tahun yang dipercayai baru tiba ke negara ini melalui jalan tidak sah.

"Kami merampas 31 telefon bimbit, barang kemas, wang tunai RM1,903 dan wang tunai mata wang Indonesia lebih 31 juta rupiah (RM9,047) menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM29,229," katanya.

Katanya, semua Pati yang ditahan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang bagi menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.

"Laporan polis berhubung kejadian itu dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

"Pasukan akan meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan," katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2021 @ 8:26pm
d