mutakhir

Pokok tumbang, kediaman rosak akibat ribut di Sepang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Sepang: Hujan lebat serta angin kuat menyebabkan pokok tumbang serta kerosakan kediaman serta fasiliti kerajaan di sekitar daerah ini akibat diterbangkan angin, hari ini.

Malah, khemah bagi sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah ini turut diterbangkan angin dalam kejadian berkenaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sepang Mohd Faizal Mohd Sharif berkata, Angkatan Pertahanan Awam (APM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.30 petang tadi.

"Seramai 40 anggota daripada pelbagai agensi terbabit dalam operasi ini. Kami dimaklumkan mengenai laporan daripada penduduk di Taman Seroja membabitkan kediaman serta fasiliti kerajaan di kawasan berkenaan yang mengalami kerosakan akibat kejadian berkenaan.

"Setakat ini, sebanyak 17 kediaman penduduk di Taman Seroja dilaporkan terjejas dalam kejadian itu. Antara kawasan lain yang terjejas dalam kejadian itu adalah Taman Dahlia, Apartmen Casa Dahlia dan Sekolah Kebangsaan KLIA," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Faizal berkata, selain kediaman, khemah SJR di daerah ini turut diterbangkan angin kuat.

"Kami turut menjalankan operasi membersihkan pokok yang tumbang di sekitar daerah ini dalam kejadian itu.

"Setakat ini, tiada permohonan diterima daripada penduduk yang terjejas untuk berpindah ke pusat pemindahan," katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2021 @ 10:46pm
d