mutakhir

'Terjahan keras' punya pasal...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Subang Jaya: 'Terjahan keras' ketika perlawanan futsal dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan individu di gelanggang futsal di Taman Perindustrian Subang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pergaduhan itu berlaku ketika berlangsung perlawanan persahabatan futsal membabitkan dua pasukan, pada 10.30 malam.

Beliau berkata, perselisihan faham bermula apabila seorang remaja berusia 19 tahun melakukan terjahan keras terhadap seorang lelaki berusia 22 tahun ketika perlawanan berlangsung.

"Berlaku perselisihan faham dan pergelutan antara remaja dan lelaki itu sebelum seorang lelaki berusia 29 tahun daripada pasukan remaja berkenaan cuba meleraikan pergaduhan.

"Namun, lelaki yang cuba meleraikan pergaduhan itu dipukul kira-kira 10 individu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abd Khalid berkata, akibat pergaduhan itu, dua lelaki terbabit, kecuali remaja berkenaan, cedera di kepala, kening, muka dan badan.

Katanya, tiada senjata digunakan dalam kejadian itu dan polis sudah menerima laporan daripada ketiga-tiga lelaki berkenaan.

"Usaha mengesan semua pihak yang terbabit dalam kejadian ini akan dibuat dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

"Pada masa sama, kami juga akan menjalankan siasatan sekiranya didapati mana-mana pihak yang terbabit dalam kes ini melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengenakan tindakan kompaun," katanya.

Terdahulu, satu hantaran berserta video mengenai seorang youtuber bersama beberapa rakannya didakwa memukul seorang lelaki ketika perlawanan futsal tular di media sosial, hari ini.

Dalam video berdurasi 31 saat itu memaparkan sekumpulan lelaki dilihat bergaduh di gelanggang futsal berkenaan.

Disiarkan pada: March 6, 2021 @ 11:28pm
d