mutakhir

PM tiba di Jeddah, lawatan rasmi ke Arab Saudi [METROTV]

Oleh Johari

Riyadh: Tan Sri Muhyiddin Yassin selamat tiba di Jeddah pada jam 5.31 petang waktu tempatan (10.31 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi ke Arab Saudi.

Ketibaan Perdana Menteri yang diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz disambut oleh Gabenor Jeddah, Putera Mishaal Majid Abdulaziz Al Saud.

Turut menyambut beliau ialah Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Abd Razak Abdul Wahab dan isteri, Datin Nor Asimah Petah, serta Konsulat Besar Malaysia di Jeddah, 'Alauddin Mohd Nor dan isteri, Najwa Hasbullah.

Kunjungan Perdana Menteri ke Arab Saudi adalah sebahagian daripada rangka kerja lawatan rasmi enam hari ke Arab Saudi bagi memenuhi jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Perdana Menteri dan isteri yang siap berpakaian ihram akan menunaikan umrah dan melakukan ziarah di Madinah terlebih dahulu, sebelum memulakan program rasmi di Istana Al-Yamamah di Riyadh pada 9 Mac ini.

Perdana Menteri seterusnya akan ke UAE dan mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 12:00am
d