mutakhir

Youtuber bergaduh di gelanggang futsal ditahan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Subang Jaya: Seramai 12 individu termasuk Youtuber yang terbabit dalam pergaduhan di gelanggang futsal di Taman Perindustrian Subang, di sini, sudah ditahan polis pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, semua individu itu ditahan kira-kira jam 1 pagi dalam dua serbuan di sekitar Lembah Klang.

"Seorang Youtuber yang terbabit dalam kejadian itu turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

"Polis akan memohon perintah reman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu portal Harian Metro melaporkan seorang lelaki cedera diserang 10 individu lain pada jam 10.30 malam.

Kejadian pergaduhan itu berlaku ketika berlangsung perlawanan persahabatan futsal membabitkan dua pasukan.

Abd Khalid berkata, perselisihan faham bermula apabila seorang remaja berusia 19 tahun melakukan terjahan keras terhadap seorang lelaki berusia 22 tahun ketika perlawanan berlangsung.

"Berlaku perselisihan faham dan pergelutan antara remaja dan lelaki itu sebelum seorang lelaki berusia 29 tahun daripada pasukan remaja berkenaan cuba meleraikan pergaduhan.

"Namun, lelaki yang cuba meleraikan pergaduhan itu dipukul kira-kira 10 individu," katanya.

Berita berkaitan

'Terjahan keras' punya pasal...

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 1:33pm
d