mutakhir

Penyertaan 2 Adun DAP tak jejas pentadbiran [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Penyertaan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP di negeri ini ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menjejaskan pentadbiran Kerajaan Perak atau Perikatan Nasional (PN), kata Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan dua Adun Bebas, Paul Yong Choo Kiong (Adun Tronoh) dan A Sivasubramaniam (Adun Buntong) yang menyertai Bersatu secara rasmi, baru-baru ini.

"Tiada isu, Malaysia ini negara demokrasi... orang boleh memilih apa sahaja dan tiada masalah," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Gotong Royong Bersama Menteri Besar di Rumah Pangsa Jalan Pasir Putih, di sini, hari ini.

Saarani berkata, kerajaan negeri ketika ini memberi tumpuan kepada agenda untuk membangunkan negeri.

"Kita sekarang hanya fokus untuk membangunkan negeri, yang lain itu tunggulah bila tiba masanya pilihan raya nanti kita perang lah," katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan Paul dan Sivasubramaniam secara rasmi menyertai Bersatu.

Kedua-dua Adun itu sebelum ini menganggotai DAP sebelum keluar parti itu pada Mac tahun lalu untuk menyokong PN.

Pada 26 Jun tahun lalu, Sivasubramaniam pernah menyertai Gerakan selepas tiga bulan keluar DAP dan Pakatan Harapan (PH), manakala Paul yang keluar DAP pula, menjadi Adun Bebas.

Perak ketika ini dibarisi 25 Adun dari Umno, DAP (16), Parti Amanah Negara (Amanah) (lima), Bersatu (tujuh), PAS (tiga) dan PKR (tiga).

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 2:15pm
d