mutakhir

Mangsa lemas ditemui

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Seorang remaja perempuan yang hilang dihanyutkan arus deras Sungai Nenggiri di Kampung Pulau Setelu, dekat sini, Jumaat lalu, ditemui lemas, hari ini.

Nur Jannatul Alia Mohd Zamri, 13, dijumpai terapung di tepi sungai itu pada jam 9 pagi oleh penduduk kampung kira-kira 15 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, penduduk yang menemui mangsa terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan mereka bergerak pada awal pagi menggunakan bot persendirian untuk mengesan mangsa yang hilang.

"Sebelum pasukan SAR memulakan semula operasi itu, kami dimaklumkan mangsa dijumpai lemas dalam keadaan terapung dan lengkap berpakaian.

"Berikutan itu, sepasukan anggota bomba dipanggil bagi membawa mayat mangsa ke darat," katanya kepada pemberita di Bilik Forensik Hospital Gua Musang (HGM), di sini, hari ini.

Sik berkata, mayat mangsa dihantar ke HGM bagi dibedah siasat dan diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan petang ini.

Dalam kejadian jam 4 petang, Jumaat lalu, mangsa bersama 20 ahli keluarganya berkelah di tebing pasir di tepi sungai itu tidak jauh dari rumahnya di Kampung Pulau Setelu.

Mangsa bersama kakaknya, Nur Ain Mohd Zamri, 16, dan seorang sepupu mereka, Nur Asma Kamaruddin, 14, turun ke sungai untuk mandi.

Bagaimanapun tidak lama kemudian, datuk mereka mendengar tiga cucunya itu melaung meminta tolong berikutan dihanyutkan arus deras.

Nur Ain bersama Nur Asma berjaya diselamatkan manakala Nur Jannatul Alia hilang dibawa arus.

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 2:45pm
d