mutakhir

Zoo Negara kembali jadi tumpuan ramai [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Jelas terpancar kegembiraan di wajah pengunjung Zoo Negara, di sini, terutamanya golongan anak kecil dan remaja selepas sekian lama 'terperap' di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Harian Metro mendapati, Zoo Negara antara lokasi kembali menjadi tumpuan pengunjung untuk beriadah dan bersantai.

Malah, ada pengunjung sanggup berjalan hampir 1 kilometer apabila terpaksa parkir kenderaan di kawasan perumahan berdekatan kerana parkir zoo penuh.

Pengunjung, Azlan Ramali, 35, berkata dia sekeluarga terutamanya anak rasa lebih selesa dengan kelonggaran diberikan kerajaan untuk berkunjung ke tempat rekreasi.

"Kami tinggal di rumah pangsapuri, jadi kebebasan untuk keluar agak terhad sewaktu sekatan pergerakan ketat dilaksanakan. Kelonggaran diberikan sekarang, bukan sahaja saya dan isteri gembira malah anak turut seronok dibawa berjalan-jalan. Parkir jauh dan beratur kira-kira sejam pun rasa berbaloi luangkan masa bersama keluarga dan anak-anak," katanya.

Juruteknik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membawa bersamanya isteri Nor Asmira Sarkam, 33, dan anak Muhammad Affan, 2, serta Muhammad Afif, lapan bulan, menjelaskan rasa tidak sabar menunggu kebenaran untuk rentas negeri pula untuk balik ke kampung di Seremban, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Phung Chee Seong, 36, berkata sejak PKP dilaksanakan tahun lalu dia tidak pernah membawa anak-anak ke kawasan tumpuan ramai.

"Malah sebelum ini ke taman permainan pun saya tak berani nak bawa anak-anak. Apabila mendapat tahu mulai Jumaat lalu kerajaan benarkan aktiviti rekreasi termasuk zoo, terus rancang bawa mereka ke sini," katanya.

Isterinya, Pan May Tzy, 35, pula berkata dia seronok boleh menggembirakan anak Jaycinth, 3, dan Jaymie, 2.

"Apa pun, nak keluar ke mana-mana pun, kami pastikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk pakai pelitup muka, guna pensanitasi tangan dan jaga penjarakan fizikal," katanya.

Bagi, Pegawai Waran 1, Mohd Fajaruddin Muhammad, 40, dari Kor Jurutera Elektrik dan Tentera, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula berkata, kelonggaran diberikan kerajaan bukan sahaja bagus untuk beriadah bersama keluarga malah menjana ekonomi sektor berkaitan seperti pelancongan tempatan.

Dia yang ditemui ketika sedang memancing di Zoo Negara bersama rakannya berkata berjanji kepada keluarga dan anak untuk mengunjungi zoo itu hujung minggu depan.

"Mesti empat anak saya berusia tujuh hingga 16 tahun nanti akan berasa teruja," katanya.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata keseluruhannya sebelum ini tempat itu ditutup selama 28 minggu atau tujuh bulan sewaktu PKP.

"Zoo Negara sangat menghargai penyumbang dana dari semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta serta individu. Jumlah keseluruhan sumbangan dana diterima ialah RM11.6 juta," katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 3:07pm
d