mutakhir

Polis pohon sambung reman terhadap pemandu treler

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis memohon sambungan reman terhadap pemandu treler yang merempuh perancah besi di projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Desa Tun Razak, di sini, hingga mengakibatkan kematian dua pekerja kilang dan tiga lagi cedera, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, permohonan itu dibuat bagi membantu siasatan kerana suspek berusia 40-an didapati positif dadah.

"Polis sedang menunggu laporan saringan ujian air kencing terhadap suspek yang dihantar ke Jabatan Kimia sebelum ini.

"Setakat ini suspek disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam pengaruh alkohol atau dadah dan terbabit dalam kemalangan menyebabkan kecederaan atau kematian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, pemandu berkenaan direman empat hari yang tamat pada hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, penumpang van kilang Nurina Edwin Abdullah, 47, dan Norhayati Abdullah, 42, meninggal dunia.

Manakala pemandu van berkenaan, Muhd Fairus Mohd Yusof, 47, dan dua lagi penumpang iaitu Zaitun Zainal, 54, dan Zakiyyah Yakop, 51, cedera.

Kejadian dipercayai berlaku apabila treler yang melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) melanggar kerangka besi pada pembinaan jejantas pejalan kaki menyebabkan rasuk keluli bersama perancah besi terjatuh di laluan berkenaan.

Ia kemudian menghempap van kilang yang bergerak dari laluan Ampang menghala ke Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS).

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 3:21pm
d