mutakhir

44 kg ganja lebih RM100,000 dirampas

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Sik: Polis menahan seorang pemandu lori dan lelaki warganegara Thailand serta merampas 42 ketulan mampat ganja bernilai lebih RM100,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Charuk Tenang, di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, serbuan dilakukan jam 10.20 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik dan Pendang.

"Ketika serbuan dua lelaki terbabit sedang berehat di dalam rumah sebelum polis menemukan dua ketulan mampat ganja di dalam bekas tin yang berada di dalam besen biru di stor berhampiran rumah berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemukan 40 lagi ketulan ganja di dalam tong biru dengan berat keseluruhan dianggarkan 44 kg," katanya pada sidang media di IPD Sik, di sini, hari ini.

Mohd Taufik berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki berusia 61 dan 31 tahun itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak setahun lalu.

Katanya, stor terbabit dipercayai dijadikan transit sebelum ganja itu diedarkan di Pendang dan Pulau Pinang.

"Berdasarkan rekod polis, pemandu lori terbabit mempunyai rekod lampau dadah dan pernah dihukum penjara selama 10 tahun dan 10 sebatan manakala lelaki Thailand yang bekerja sebagai penoreh getah tidak mempunyai rekod lampau.

"Kedua-dua suspek turut positif dadah jenis ganja. Bekalan ganja ini dipercayai diperolehi dari negara jiran dan setakat ini kita masih menyiasat bagaimana bekalan itu dibawa masuk ke Malaysia," katanya.

Mohd Taufik berkata, dua suspek terbabit kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 5:42pm
d