mutakhir

Bidaan plat UM dibuka mulai esok

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Nombor pendaftaran kenderaan khas dengan awalan "UM" boleh dibida bermula esok, dengan harga bidaan minimum ada RM1,000.

Universiti Malaya (UM) dalam kenyataan, hari ini memaklumkan nombor pendaftaran itu adalah satu simbol unik yang dapat dipaparkan pada kenderaan, dan ditawarkan kepada orang awam.

Naib Canselor UM Prof Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor dalam ucapan pelancaran bidaan nombor pendaftaran itu berkata, ia bukan sekadar nombor plat kenderaan, tetapi satu manifestasi seseorang sebagai "warga UM".

"Pembida juga secara tidak langsung menjadi penyumbang kepada dana pembangunan, penyelidikan dan kebajikan pelajar UM.

"Penjualan nombor pendaftaran kenderaan UM merupakan antara inisiatif penjanaan pendapatan universiti selain mempromosikan nama UM sebagai universiti terunggul dan antara yang terbaik di dunia," katanya seperti dipetik dalam kenyataan itu.

Menurut Mohd Hamdi, inisiatif itu juga disasarkan akan menarik lebih ramai alumni UM untuk memberi sumbangan kepada universiti terbabit, di samping mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Sesi bidaan pertama yang berlangsung selama lima hari bermula 8 hingga 12 Mac ini menawarkan 100 nombor plat UM yang terdiri daripada tiga kategori iaitu Emas, Perak dan Gangsa, serta bidaan boleh dilakukan menerusi laman web https://hebat.um.edu.my.

Menurut kenyataan iu, UM adalah universiti terbaik di Malaysia dan berada di kedudukan 59 terbaik di dunia.

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 6:28pm
d