mutakhir

Tak berbaloi tukar ekzos

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Rembau: Mereka sanggup menghabiskan beribu ringgit semata-mata untuk kepuasan mengubahsuai motosikal.

Malah ada antara mereka sengaja menukar paip ekzos supaya menghasilkan bunyi lebih bingit serta menggunakan nombor plet tidak mengikut justifikasi dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, kesalahan itu bagaimanapun dikesan hasil operasi bersepadu dilakukan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Rembau bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan di daerah ini sejak semalam.

Menurutnya, objektif operasi itu adalah mengesan kenderaan yang mengubahsuai ekzos dan menyebabkan bunyi bising selain kesalahan trafik lain.

"Hasilnya pihak polis dibantu JPJ mengeluarkan 16 saman atas pelbagai kesalahan selain tiga motosikal turut disita kerana melakukan ubah suai melampau," katanya.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang tindakan pihak berkuasa.

"Mereka ubahsuai motosikal dan ekzos hingga menyebabkan bunyi bising yang mengganggu orang ramai. Ini amat melampau.

"Semua kesalahan ini akan disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 7:42pm
d